
Cicit Tok Janggut Minta Jasa Moyangnya Dikenang
PASIR PUTEH, 26 Ogos (Bernama) -- Cicit kepada Allahyarham Tok Janggut, pahlawan Melayu yang menentang penjajahan Inggeris pada tahun 1914 mahu kerajaan memberi perhargaan yang setimpal terhadap jasa moyangnya sempena menyambut kemerdekaan negara yang ke-52.
Sulaiman Ismail, 85, berkata sekiranya kerajaan sanggup memberi penghargaan kepada pejuang kemerdekaan seperjuangannya di negeri-negeri Pahang, Perak dan Negeri Sembilan dengan membina memorial mengenai mereka kenapa tidak pada moyangnya. "Ini penting kepada generasi sekarang dan akan datang supaya mereka tidak hilang jati diri," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya Kampung Batu Hitam di sini, Rabu.
Tok Janggut atau nama sebenarnya Haji Mohd Hassan Munas melakukan penentangan terhadap Inggeris di Pasir Puteh dan terkorban ketika bertempur di Kampung Saring dan mayatnya disemadikan di Pasir Pekan oleh penjajah berkenaan. Sebelum itu, Tok Janggut pernah dilantik sebagai Perdana Menteri oleh Raja yang memerintah Jajahan Jeram. Sehubungan itu, Sulaiman mendakwa keris moyangnya, iaitu "Keris Tok Janggut" yang digunakan ketika penentangan itu masih disimpan olehnya dan ia akan dijadikan harta pusaka dari generasi ke generasi. Beliau berharap sudah tiba masanya kerajaan mengambil perhatian serius mengenainya agar perjuangan moyangnya membela nasib bangsa dan agama tidak hilang indentitinya kepada generasi muda bagi lima hingga 10 tahun akan datang. Antara lain beliau mencadangkan supaya kubur moyangnya dipindahkan dari Pasir Pekan, Kota Baharu ke kampung Saring iaitu kampung asalnya yang juga tempat kejadian itu berlaku supaya melengkapkan sejarah perjuangannya.
Sementara itu, anak kelahiran merdeka Zulkifli Ali mahu kerajaan meletakkan perjuangan Tok Janggut setimpal dengan perjuangannya dalam usaha untuk memartabatkan perjuangan bangsa.Beliau, yang dilahirkan pada 31 Ogos 1966 di Kampung Bukit Abal di sini berkata, orang Melayu kini patut mencontohi perjuangan Tok Janggut yang rela berkorban nyawa untuk kepentingan bangsa dan agama. Katanya berdasarkan hakikat itu orang Melayu sekarang sepatutnya insaf jika mereka berpecah belah, disebabkan terlalu rakus untuk mencari kepentingan diri, tidak mustahil dalam tempoh terdekat orang Melayu akan kehilangan kuasa menyebabkan mereka akan merana di tanah air sendiri. "Sebelum terlambat orang Melayu patut menyokong konsep yang diperkenalkan oleh kerajaan sekarang iaitu konsep 1Malaysia Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan bagi kesinambungan survival perjuangan bangsa dan kemakmuran rakyat Malaysia," katanya.
Hmm.. Sampai masanya sejarah negara mencapai kemerdekaan dikaji dan dipelajari dari zaman Tok Janggut, Mat Kilau, Dato Bahaman, Hj Abd Rahman Limbong, Dato Maharajalela dan ramai lagi kerana dari sinilah rakyat akan sedar yang orang Melayu telah berjuang membebaskan negeri ini lebih awal daripada zaman komunis, Jepun atau zaman Malayan Union.
No comments:
Post a Comment