Thursday 31 December 2009

2010


Melihat ke hadapan dengan harapan, menoleh ke belakang dengan keinsafan. Menilai pencapaian, mencongak impian. Meningkatkan kehidupan, menambah amal bekalan.

Monday 31 August 2009

Merdeka

Assalamu'alaikum & Salam Merdeka.

Sebentar tadi telah berlangsung sambutan rasmi Kemerdekaan Negara kali ke 52 di Medan Parlimen, menyaksikan majlis sambutan merdeka paling sederhana diadakan bagi mengingati detik bersejarah 52 tahun lalu di Stadium Merdeka.

Potret Almarhum Tunku di saat-saat laungan keramat merdeka akan sentiasa sinonim dan dikenang selagi negara bernama Malaysia ini masih wujud dan kekal berdaulat. Perasaan setiap jiwa manusia sewaktu bersama Tunku di stadium takkan mungkin sama dengan perasaan mereka yang terlibat menjayakan sambutan tadi.

Mereka pada pagi Sabtu itu mungkin meremang bulu roma tatkala bergema sorakan merdeka menyambut laungan oleh Tunku. Mungkin ada menangis kegembiraan sesama mereka melahirkan kelegaan tak terhingga untuk bebas dari derita cengkaman sesuatu yang dirasakan membelenggu hidup saat itu. Kalau ada yang berfikir ke hadapan pula, memandang penuh harapan agar negara baru ini akan diisi dengan kemajuan taraf hidup apabila berkerajaan sendiri. Ada juga yang sangsi mampukah kita memerintah sendiri. Apapun majoriti manusia waktu itu aku agak sangat bersyukur dan bergembira sepuasnya merayakan bebasnya sebuah bangsa.

Hari ini, perasaan sebegitu hanya mungkin hadir pada mereka yang berusia 60 tahun ke atas. Takkan sama. Sambutan kemerdekaan bagi para pesertanya adalah masa untuk mengingati dan bergembira menggambarkan rasa bangga menyambut hari lahirnya sebuah negara. Selebihnya adalah sebagai memenuhi tuntutan atau tanggungjawab menjayakan sesuatu majlis, mungkin. Sesetengahnya pula tidak merasa nikmat bebas kerana suatu perasaan risau terkena jangkitan selesema babi apabila berada beramai-ramai di tempat sambutan. Diakhirnya, tetap akan dirasakan mereka rasa puas menjayakan sambutan hari kemerdekaan pada tahun ini kalau tidak pun meremang bulu roma atau menangis mengenangkan jerih orang dahulu berjuang meletakkan asas hidup kita pada hari ini.

Bersyukurlah pada Allah nikmat merdeka ini.
Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan ke 52!
(atau 53 tahun jika dikira mengikut takwim Hijrah)

Sunday 30 August 2009

Bebas


Salam 1Malaysia.

Aku adalah pemilih berdaftar dalam P017 Padang Serai dan N34 Lunas. Seminggu yang lalu pada 23 Ogos 2009 bersamaan 2 Ramadan 1430, Lunas menggamit perhatian negara apabila ADUNnya membebaskan diri daripada PKR. Kami tertanya-tanya apakah jadi selepas ini?

Hampir genap 9 tahun lampau iaitu pada 3 Ramadan 1421 bersamaan 29 November 2000, Lunas telah pun menjadi tumpuan apabila keputusan Pilihanraya Kecil DUN ini buat pertama kali membebaskannya daripada BN(MIC) sejak sekian lama apabila calon PKN (waktu itu- kini PKR) menang. Sejak itu tradisi MIC (sebelumnya MCA) berkubu di Lunas yang bermajoritikan Bumiputera dipecahkan dan berselang seli dimenangi parti pemerintah dan pembangkang.

Menariknya, kini ia berstatus bebas. Kalau manusia, mungkin duda atau janda lah agaknya. Kalau duda, biasanya tak dipedulikan sangat. Kalau janda tu ramai la yang prihatin. Habis tu, apa nasib kami anak-anak seramai 32,385 orang ini?
Bebas jugakah atau terabai?

Tazkirah

Tazkirah Ramadan di Masjid Al-Mutmainnah, Kuala Pegang, Kedah oleh Ust. Saad bin Hassan pada Ramadan 1429 lalu. Semoga Allah berkati insan yang mengembangkan pula ilmu ini ke youtube untuk kita kongsi bersama-sama.

Friday 28 August 2009

Tujuh


Assalamu'alaikum.


Diam tak diam dah 7 hari kita berada di bulan Ramadan. Tolak campur ada 22 hari lagi bersamaan kurang lebih 3 minggu sebelum tamat bulan ke 9 dalam kalendar Hijrah ini. Masa berlalu, bagi orang yang ternanti-nantikan Ramadan selama ini, masa kian dirasa suntuk dari hari ke hari mengutip sebanyak mungkin amal ibadah. Bagi yang ternanti-nantikan Syawal, masa dirasakan panjang untuk sampai ke hari lebaran. Anda pulak berada di kumpulan mana?

Thursday 27 August 2009

PTK




Salam 1Malaysia.



Kepada sahabat-sahabat seperjuangan yang akan menduduki ujian Penilaian Tahap Kecekapan hari ini, aku doakan ketenangan minda & kecerahan hati dalam menjawab soalan ujian tersebut. InsyaAllah, dengan berkat Ramadhan yang penuh rahmat, kalian akan beroleh keputusan yang cemerlang.

Wednesday 26 August 2009

Tok Janggut


Cicit Tok Janggut Minta Jasa Moyangnya Dikenang


PASIR PUTEH, 26 Ogos (Bernama) -- Cicit kepada Allahyarham Tok Janggut, pahlawan Melayu yang menentang penjajahan Inggeris pada tahun 1914 mahu kerajaan memberi perhargaan yang setimpal terhadap jasa moyangnya sempena menyambut kemerdekaan negara yang ke-52.

Sulaiman Ismail, 85, berkata sekiranya kerajaan sanggup memberi penghargaan kepada pejuang kemerdekaan seperjuangannya di negeri-negeri Pahang, Perak dan Negeri Sembilan dengan membina memorial mengenai mereka kenapa tidak pada moyangnya. "Ini penting kepada generasi sekarang dan akan datang supaya mereka tidak hilang jati diri," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya Kampung Batu Hitam di sini, Rabu.

Tok Janggut atau nama sebenarnya Haji Mohd Hassan Munas melakukan penentangan terhadap Inggeris di Pasir Puteh dan terkorban ketika bertempur di Kampung Saring dan mayatnya disemadikan di Pasir Pekan oleh penjajah berkenaan. Sebelum itu, Tok Janggut pernah dilantik sebagai Perdana Menteri oleh Raja yang memerintah Jajahan Jeram. Sehubungan itu, Sulaiman mendakwa keris moyangnya, iaitu "Keris Tok Janggut" yang digunakan ketika penentangan itu masih disimpan olehnya dan ia akan dijadikan harta pusaka dari generasi ke generasi. Beliau berharap sudah tiba masanya kerajaan mengambil perhatian serius mengenainya agar perjuangan moyangnya membela nasib bangsa dan agama tidak hilang indentitinya kepada generasi muda bagi lima hingga 10 tahun akan datang. Antara lain beliau mencadangkan supaya kubur moyangnya dipindahkan dari Pasir Pekan, Kota Baharu ke kampung Saring iaitu kampung asalnya yang juga tempat kejadian itu berlaku supaya melengkapkan sejarah perjuangannya.

Sementara itu, anak kelahiran merdeka Zulkifli Ali mahu kerajaan meletakkan perjuangan Tok Janggut setimpal dengan perjuangannya dalam usaha untuk memartabatkan perjuangan bangsa.Beliau, yang dilahirkan pada 31 Ogos 1966 di Kampung Bukit Abal di sini berkata, orang Melayu kini patut mencontohi perjuangan Tok Janggut yang rela berkorban nyawa untuk kepentingan bangsa dan agama. Katanya berdasarkan hakikat itu orang Melayu sekarang sepatutnya insaf jika mereka berpecah belah, disebabkan terlalu rakus untuk mencari kepentingan diri, tidak mustahil dalam tempoh terdekat orang Melayu akan kehilangan kuasa menyebabkan mereka akan merana di tanah air sendiri. "Sebelum terlambat orang Melayu patut menyokong konsep yang diperkenalkan oleh kerajaan sekarang iaitu konsep 1Malaysia Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan bagi kesinambungan survival perjuangan bangsa dan kemakmuran rakyat Malaysia," katanya.


Hmm.. Sampai masanya sejarah negara mencapai kemerdekaan dikaji dan dipelajari dari zaman Tok Janggut, Mat Kilau, Dato Bahaman, Hj Abd Rahman Limbong, Dato Maharajalela dan ramai lagi kerana dari sinilah rakyat akan sedar yang orang Melayu telah berjuang membebaskan negeri ini lebih awal daripada zaman komunis, Jepun atau zaman Malayan Union.

H1N1

Mula-mula heboh di Mexico dulu, takdak sapa pun kisah akan penyakit yang mendapat nama sempena babi, makhluk paling sensitif kepada umat Islam ni. Alah, setakat selsema apalah sangat. Bila benda tu dah mula merebak, kita kat Malaysia ni mula 'jeling' dan ambik tahu apa jenis penyakit sepupu dengan selsema burung ni. Sekadar ambil tahu tapi tak ambil peduli sebab merebak pun beribu kilometer dari hidung kita. Yang orang sibuk ialah nak menamakan penyakit baru ni macam nak daftar nama anak kat pejabat pendaftaran. Influenza A, Selesema Babi dan H1N1 semua digunapakai merujuk kepada penyakit yang sampai saat ini masih ada orang yang tak ambik kisah, tak tahu dan tak mahu tahu apa penyakit jauh sekali mencari cara nak mengelak.


Apabila H1N1 mendarat di KLIA pada 15 Mei 2009 lepas pun kita kata ia takkan sampai kat hidung kita. Bila ada penularan tempatan H1N1 baharulah kita tersentak dan ramai yang panik cari mask. Hatta bila aku terbatuk kecil pun, ada makcik cepat-cepat memalingkan diri. Eloklah, at least dia beringat dan aku pun tak ambil hati. Tapi masih ramai lagi yang tak ambil tahu dan tak sedar mereka mengkin akan dijangkiti dan menjangkiti orang lain pula. Seorang sahabat dalam emelnya menyamakan pandemik yang berlaku sekarang ini dengan jalan cerita Hollywood suatu ketika dulu. Aku tak tahu, tapi dia kata tajuknya Transporter- watak jahat menghasilkan virus membunuh yang merebak melalui pernafasan demi membunuh musuh dan mecapai cita-citanya menguasai dunia. Lojik kawan aku ni pakai ialah, Amerika mencipta virus ini dan menyebarkan dari makmal Mexico, jirannya ke serata alam demi menguasai dunia yang akan bergantung hayat padanya untuk mendapatkan penyembuh.


Berbalik kepada H1N1, seorang lagi rakan emel aku di Kanada memberitahu yang statistik kematian akibat virus itu disana dah menurun. Tapi kita pulak dengan penduduk tak seramai mana berbanding India contohnya, dah meragut 70 nyawa sehingga 25 Ogos kelmarin. Soalnya, kita nak salahkan kerajaan yang tidak efisien mengawal penularan kah atau salah kita yang tak ambil kisah, tak mahu ambil tahu langkah-langkah pencegahan? Sekolah, kolej, universiti ditutup dan disuruh kuarantin, kita pulak bebas sebarkan virus kat tempat awam tanpa topeng muka pelindung diri & pelindung orang lain.


Hakikatnya, kesedaran dalam diri yang akan melindungi diri menghindari virus H1N1 ini.

Bismillahirrahmanirrahim
















Assalamualaikum & Salam 1Malaysia.

Hari ini 26 Ogos 2009 bersamaan 5 Ramadan 1430 aku hadir untuk bersama kalian berkongsi idea, cerita dan apa sahaja yang kita rasa perlu diberitahu, mendapat tahu kerana kita takkan tahu sendiri melainkan ada orang memberitahu apa yang kita tidak, belum atau mahu tahu. Kerana mengetahui apa yang kita tak ketahui lebih baik daripada tidak mahu mengetahui apa yang perlu kita ketahui. Sesungguhnya Allah SWT Maha Mengetahui. Ahh. cukup la tu bermain kata. Aku bukannya pandai pun bermain kata-kata. Mungkin sebab didikan mak dan ayah aku supaya jangan cakap bohong menyebabkan aku tak pandai berdolak dalik dan bermain kata atau memutar kata. Ya Allah, ampunkan dosa mereka, kasihani mereka seperti mereka mengasihi diriku.

Itu saja sebagai mukaddimah. Nanti kita sambung lagi, insyaAllah. Selamat berpuasa & beribadah dengan tulus ikhlas, bukan kerna nak "high score" bulan ini.