Monday 31 August 2009

Merdeka

Assalamu'alaikum & Salam Merdeka.

Sebentar tadi telah berlangsung sambutan rasmi Kemerdekaan Negara kali ke 52 di Medan Parlimen, menyaksikan majlis sambutan merdeka paling sederhana diadakan bagi mengingati detik bersejarah 52 tahun lalu di Stadium Merdeka.

Potret Almarhum Tunku di saat-saat laungan keramat merdeka akan sentiasa sinonim dan dikenang selagi negara bernama Malaysia ini masih wujud dan kekal berdaulat. Perasaan setiap jiwa manusia sewaktu bersama Tunku di stadium takkan mungkin sama dengan perasaan mereka yang terlibat menjayakan sambutan tadi.

Mereka pada pagi Sabtu itu mungkin meremang bulu roma tatkala bergema sorakan merdeka menyambut laungan oleh Tunku. Mungkin ada menangis kegembiraan sesama mereka melahirkan kelegaan tak terhingga untuk bebas dari derita cengkaman sesuatu yang dirasakan membelenggu hidup saat itu. Kalau ada yang berfikir ke hadapan pula, memandang penuh harapan agar negara baru ini akan diisi dengan kemajuan taraf hidup apabila berkerajaan sendiri. Ada juga yang sangsi mampukah kita memerintah sendiri. Apapun majoriti manusia waktu itu aku agak sangat bersyukur dan bergembira sepuasnya merayakan bebasnya sebuah bangsa.

Hari ini, perasaan sebegitu hanya mungkin hadir pada mereka yang berusia 60 tahun ke atas. Takkan sama. Sambutan kemerdekaan bagi para pesertanya adalah masa untuk mengingati dan bergembira menggambarkan rasa bangga menyambut hari lahirnya sebuah negara. Selebihnya adalah sebagai memenuhi tuntutan atau tanggungjawab menjayakan sesuatu majlis, mungkin. Sesetengahnya pula tidak merasa nikmat bebas kerana suatu perasaan risau terkena jangkitan selesema babi apabila berada beramai-ramai di tempat sambutan. Diakhirnya, tetap akan dirasakan mereka rasa puas menjayakan sambutan hari kemerdekaan pada tahun ini kalau tidak pun meremang bulu roma atau menangis mengenangkan jerih orang dahulu berjuang meletakkan asas hidup kita pada hari ini.

Bersyukurlah pada Allah nikmat merdeka ini.
Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan ke 52!
(atau 53 tahun jika dikira mengikut takwim Hijrah)

No comments:

Post a Comment