Monday 4 January 2010

Melayu


Untuk diri saya sendiri juga ...

Di mana boleh cari ramai Melayu
Pastinya di Kelantan dan Terengganu
Dan juga di pasar malam dan pasar minggu
Di Akademi Fantasia dan Pesta Lagu
Di Jom Heboh orang Melayu berpusu-pusu
Di Sungai Buloh, pusat pemulihan, dulu di Pudu
Dan di jalan, lumba haram, rempit tak berlampu
Dan di selekoh duit rasuah depa pun sapu
Di pusat serenti akibat ketagih dadah dan candu
Di malam kemerdekaan dan malam tahun baru
Terkinja-kinja best giler menari macam hantu
Apa hobi orang Melayu
Terkenal dengan budaya malas dan lesu
Berlepak buang masa tak jemu-jemu
Atau baca majalah Mastika, Metro pasal cerita hantu
Tengok telenovela dari Filipina dan Peru
Berpusu-pusu pergi tengok pamiran hantu
Sambil makan junk food, kuaci dan muruku
Sibuk bercerita tentang Datuk K dapat bini baru
Apa pakaian Siti nak pakai itu yang nak tahu
Mana tak gendut berpenyakit selalu
Kalau nak berlagak melayu masih nombor satu
Asal bergaya sanggup makan nasi dan toyu
Boleh tak jumpa mereka di kedai buku
Atau di perpustakaan dan majlis ilmu
Atau ambil kelas kemahiran di hujung minggu
Ada tapi kurang sangat mereka di situ
Kenapa melayu jadi begitu
Nak salahkan siapa ibubapa atau guru
Pemimpin negara atau raja dulu-dulu
Ayat lazim di mulut ialah Melayu malas selalu
Nak harap Kerajaan saja membantu
Terutama sekali kontraktor kelas satu
Tak habis-habis gaduh nak jatuh siapa dulu
pasal jambatan senggek atau siapa dia penghulu
Dan suka sangat dengan budaya ampu mengampu
Sampai bila kita nak tunggu
Bangsa Melayu jadi bangsa yang maju
BOleh! dengan beberapa syarat tertentu
Pertama dengan banyak menguasai ilmu
Kata nabi ikutlah Quran dan sunnah ku
AlQuran yang diturunkan 1400 tahun dahulu
tapi apa yang kita tahu, cuma baca bila nak halau hantu

dipetik daripada emel sahabat.

Friday 1 January 2010

3G

Assalamu'alaikum & Salam 1Malaysia.

Selamat tahun baru masehi 2010 & tidak lewat lagi rasanya saya ucapkan juga Salam Ma'al Hijrah 1431 yang disambut genap 2 minggu sudah.

Tiga hari bermula 30 Disember lalu menarik perhatian saya kepada tiga G (3G). Lewat petang berkenaan, dunia menerima khabar kembalinya ke Rahmatullah mantan Presiden Indonesia ke 4, Abdurrahman Wahid yang lebih popular dengan panggilan Gus Dur. AlFatihah utk Allahyarham. Itu G yang pertama.

Lewat petang 31 Disember, 1Malaysia ini menerima khabar pula G yang kedua, Gula yang menokok nilai 20 sen lagi. Tak perlu diwar-warkan kenapa ia perlu dijual pada harga RM1.65 sekilogram, tetapi isu kenaikan harga barangan yang berkaitan dengannya akan terus berdegar kalau tak sehari dua mungkin seminggu atau sebulan dua lagi.

Awal dinihari 1 Januari ini, bermula 2.51 hingga 3.53 pagi telah berlaku Gerhana bulan, G ketiga yang tidak mendapat liputan besar kecuali bagi sesetengah orang kerana sebahagian besar lagi orang dibayangi keterujaan sambutan tahun baru. Ada masjid, surau atau rumah-rumah yang hidup dengan solat sunat gerhana di kala sebahagian manusia baru pulang meraikan kehadiran satu lagi kalendar baharu, 2010.

Thursday 31 December 2009

2010


Melihat ke hadapan dengan harapan, menoleh ke belakang dengan keinsafan. Menilai pencapaian, mencongak impian. Meningkatkan kehidupan, menambah amal bekalan.

Monday 31 August 2009

Merdeka

Assalamu'alaikum & Salam Merdeka.

Sebentar tadi telah berlangsung sambutan rasmi Kemerdekaan Negara kali ke 52 di Medan Parlimen, menyaksikan majlis sambutan merdeka paling sederhana diadakan bagi mengingati detik bersejarah 52 tahun lalu di Stadium Merdeka.

Potret Almarhum Tunku di saat-saat laungan keramat merdeka akan sentiasa sinonim dan dikenang selagi negara bernama Malaysia ini masih wujud dan kekal berdaulat. Perasaan setiap jiwa manusia sewaktu bersama Tunku di stadium takkan mungkin sama dengan perasaan mereka yang terlibat menjayakan sambutan tadi.

Mereka pada pagi Sabtu itu mungkin meremang bulu roma tatkala bergema sorakan merdeka menyambut laungan oleh Tunku. Mungkin ada menangis kegembiraan sesama mereka melahirkan kelegaan tak terhingga untuk bebas dari derita cengkaman sesuatu yang dirasakan membelenggu hidup saat itu. Kalau ada yang berfikir ke hadapan pula, memandang penuh harapan agar negara baru ini akan diisi dengan kemajuan taraf hidup apabila berkerajaan sendiri. Ada juga yang sangsi mampukah kita memerintah sendiri. Apapun majoriti manusia waktu itu aku agak sangat bersyukur dan bergembira sepuasnya merayakan bebasnya sebuah bangsa.

Hari ini, perasaan sebegitu hanya mungkin hadir pada mereka yang berusia 60 tahun ke atas. Takkan sama. Sambutan kemerdekaan bagi para pesertanya adalah masa untuk mengingati dan bergembira menggambarkan rasa bangga menyambut hari lahirnya sebuah negara. Selebihnya adalah sebagai memenuhi tuntutan atau tanggungjawab menjayakan sesuatu majlis, mungkin. Sesetengahnya pula tidak merasa nikmat bebas kerana suatu perasaan risau terkena jangkitan selesema babi apabila berada beramai-ramai di tempat sambutan. Diakhirnya, tetap akan dirasakan mereka rasa puas menjayakan sambutan hari kemerdekaan pada tahun ini kalau tidak pun meremang bulu roma atau menangis mengenangkan jerih orang dahulu berjuang meletakkan asas hidup kita pada hari ini.

Bersyukurlah pada Allah nikmat merdeka ini.
Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan ke 52!
(atau 53 tahun jika dikira mengikut takwim Hijrah)

Sunday 30 August 2009

Bebas


Salam 1Malaysia.

Aku adalah pemilih berdaftar dalam P017 Padang Serai dan N34 Lunas. Seminggu yang lalu pada 23 Ogos 2009 bersamaan 2 Ramadan 1430, Lunas menggamit perhatian negara apabila ADUNnya membebaskan diri daripada PKR. Kami tertanya-tanya apakah jadi selepas ini?

Hampir genap 9 tahun lampau iaitu pada 3 Ramadan 1421 bersamaan 29 November 2000, Lunas telah pun menjadi tumpuan apabila keputusan Pilihanraya Kecil DUN ini buat pertama kali membebaskannya daripada BN(MIC) sejak sekian lama apabila calon PKN (waktu itu- kini PKR) menang. Sejak itu tradisi MIC (sebelumnya MCA) berkubu di Lunas yang bermajoritikan Bumiputera dipecahkan dan berselang seli dimenangi parti pemerintah dan pembangkang.

Menariknya, kini ia berstatus bebas. Kalau manusia, mungkin duda atau janda lah agaknya. Kalau duda, biasanya tak dipedulikan sangat. Kalau janda tu ramai la yang prihatin. Habis tu, apa nasib kami anak-anak seramai 32,385 orang ini?
Bebas jugakah atau terabai?

Tazkirah

Tazkirah Ramadan di Masjid Al-Mutmainnah, Kuala Pegang, Kedah oleh Ust. Saad bin Hassan pada Ramadan 1429 lalu. Semoga Allah berkati insan yang mengembangkan pula ilmu ini ke youtube untuk kita kongsi bersama-sama.

Friday 28 August 2009

Tujuh


Assalamu'alaikum.


Diam tak diam dah 7 hari kita berada di bulan Ramadan. Tolak campur ada 22 hari lagi bersamaan kurang lebih 3 minggu sebelum tamat bulan ke 9 dalam kalendar Hijrah ini. Masa berlalu, bagi orang yang ternanti-nantikan Ramadan selama ini, masa kian dirasa suntuk dari hari ke hari mengutip sebanyak mungkin amal ibadah. Bagi yang ternanti-nantikan Syawal, masa dirasakan panjang untuk sampai ke hari lebaran. Anda pulak berada di kumpulan mana?