Friday 1 January 2010

3G

Assalamu'alaikum & Salam 1Malaysia.

Selamat tahun baru masehi 2010 & tidak lewat lagi rasanya saya ucapkan juga Salam Ma'al Hijrah 1431 yang disambut genap 2 minggu sudah.

Tiga hari bermula 30 Disember lalu menarik perhatian saya kepada tiga G (3G). Lewat petang berkenaan, dunia menerima khabar kembalinya ke Rahmatullah mantan Presiden Indonesia ke 4, Abdurrahman Wahid yang lebih popular dengan panggilan Gus Dur. AlFatihah utk Allahyarham. Itu G yang pertama.

Lewat petang 31 Disember, 1Malaysia ini menerima khabar pula G yang kedua, Gula yang menokok nilai 20 sen lagi. Tak perlu diwar-warkan kenapa ia perlu dijual pada harga RM1.65 sekilogram, tetapi isu kenaikan harga barangan yang berkaitan dengannya akan terus berdegar kalau tak sehari dua mungkin seminggu atau sebulan dua lagi.

Awal dinihari 1 Januari ini, bermula 2.51 hingga 3.53 pagi telah berlaku Gerhana bulan, G ketiga yang tidak mendapat liputan besar kecuali bagi sesetengah orang kerana sebahagian besar lagi orang dibayangi keterujaan sambutan tahun baru. Ada masjid, surau atau rumah-rumah yang hidup dengan solat sunat gerhana di kala sebahagian manusia baru pulang meraikan kehadiran satu lagi kalendar baharu, 2010.

No comments:

Post a Comment